Abdullah ibnu Mas'ud pernah mengatakan, apabila sesuatu ayat bermula dengan seruan kepada orang yang beriman, sebelum hujung ayat lagi kita sudah sedar dan tahu yang ayat itu pasti mengandungi satu arahan dan larangan yang berat.
"Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" (QS 3:183)
Ternyata arahan dan perintah cukup berat.
Melihat situasi hari ini, ramai dikalangan umat Islam "tersungkur" gagal untuk berpuasa. Tidak kira statusnya mahupun taraf pendidikannya. Tidak kira apa profesionnya, di ofis yang berhawa dingin, di tapak pembinaan yang panas terik mahupun di sekolah-sekolah dan universiti. Lebih malang lagi, "berbondong-bondong" orang yang ke kedai makan tanpa rasa segan dan malu.
Yang berpuasa, lain pula ceritanya. Berapa ramai yang berpuasa tetapi hanya lapar dan dahaga habuannya. Manakan tidak, time berbuka sahaja, mulalah berpusu-pusu pasangan-pasangan kekasih tanpa ikatan ini bersantai di kedai makan untuk berbuka puasa. Apakah ada keberkatan Allah ketika kita mencampuri ibadah yang baik ini dengan maksiat kepadanya? Bertudung labuh atau tidak, berkupiah ataupun bertopi!
Ibadah puasa melatih kita untuk mengubah dan mengatur semula jadual dan pemakanan kita sehari-hari. Manakan tidak, waktu makan dan minum diakhiri seawal jam 5.00 pagi. Bukankah ini menuntut perubahan? Jadi, sempena ramadhan ini, disamping merubah pola pemakanan kita, marilah kita ubah pola pemikiran kita dan sikap kita di dalam melaksanakan keta'atan kepada Allah. Kerana dengan berpuasa, Islam menuntut kita untuk berubah menjadi orang yang bertaqwa.
"Seluruh amal ibadah anak adam adalah untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk Ku dan Aku yang akan memberikan balasannya" (Hadith)
Sakit, uzur dan bermusafir. Allah telah memberi kelonggaran untuk mereka tidak berpuasa pada hari-hari di dalam bulan Ramadhan.
"(Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. “ (QS 2:184)
Kerja yang terlalu memenatkan. Memang ramai orang yang bekerja berat amat mudah untuk tidak berpuasa, beralasan dengan terlalu penat. Tetapi Allah tidak akan memberati mereka dengan sesuatu yang mereka tidak mampu. Jadi, kita cuba perbaiki fizikal kita dan kemampuan kita di bulan Ramadhan ini. Pastikan kita tidur secukupnya dan wajibkan diri untuk bangun sahur di lewat waktu. Sesungguhnya ada keberkatan di sebalik bersahur.
Dari Anas R.A. berkata, RasulluLlah bersabda "Makan sahurlah kamu, kerana makan sahur itu mengandungi berkat" (HR Muslim)
Malas. Mengingati mati adalah motivasi terbaik untuk mengatasi rasa malas. Ingatkan janji Allah bahawa dosa kita akan diampuni jika kita berpuasa keranaNya.
Rakan taulan tidak berpuasa. Jauhkan diri dan carilah kawan yang berguna dan dampingilah orang-orang yang soleh. Buangkan rasa segan untuk mendekati mereka. Sesungguhnya kawan yang beriman adalah teman rapat kita di akhirat.
“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya Yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa” (QS 43:37)
Kita benci berpuasa. Hayatilah kebesaran Allah. Mulakan dengan memerhatikan penciptaan alam. Kita bina keyakinan bahawa Allah itu Esa dan Maha Berkuasa. Dari situ, kita cuba yakini setiap arahan Allah pasti ada kebaikan di dunia dan akhirat. Barulah kita niatkan bahawa kita berpuasa kerana kita yakin akan keberadaanNya dan redhaNyalah yang kita cari.
Apa yang harus kita buat di bulan Ramadhan kali ini?
Niat. Perbetulkan niat dan ikhlaskan diri ketika berpuasa. Pastikan hanya redhaNya yang kita cari. Sentiasa evaluate dan muhasabah nilai dan niat puasa kita agar keikhlasan tetap terjaga.
RasulluLlah bersabda "Barang siapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan, maka dia diampuni dari dosa-dosa masa lalunya"
Al-Quran. Pelajari dan banyakkan membaca al-quran. Aturkanlah objektif dan target untuk Ramadhan kali ini. Disiplinkan diri untuk mencapai objektif tersebut. Contohnya, setiap hari aku harus sekurang-kurangnya membaca satu juz. Rajinkan diri untuk membuka terjemahan dan menganalisa isi kandungan Al-Quran.
"Apakah kita tidak berusaha untuk menganalisa Al-Quran, atau pintu-pintu hati mereka yang tertutup?" (QS 47:24)
Televisyen dan hiburan. Kurangkan membaca dan menonton hiburan. Gantikan malam dengan ibadah dan rehat.
Solat malam. Banyakkanlah bangun untuk solat di waktu malam. Rendahkanlah ego dan kesombongan kita di hadapan dan haribaan Allah, agar Allah ampuni diri kita dan Allah hadirkan hidayahNya kepada kita.
"Wahai orang yang berselimut! Dirikanlah solat tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu. Atau lebihkan sedikit daripadanya, dan bacalah Quran dengan tartil" (QS 73: 1-4)
Sahur. Wajibkan diri untuk bersahur.
Solat berjema'ah. Rajinkanlah diri untuk berjema'ah di surau, bukan terawihnya sahaja, tetapi solat fardhu yang lain. Itu yang lebih utama.
I'tikaf. Luangkan masa untuk beri'tikaf di masjid pada 10 hari terakhir di bulan Ramadhan. Carilah pada-pada malam ini malam yang lebih baik dari seribu bulan, iaitu malam al-qadr.
"Malam al-qadr yang lebih baik dari seribu bulan" (QS 97: 3)
Kita ubah dan perbaiki diri kita pada bulan Ramadhan ini. Kita gunakanlah peluang di dalam bulan Ramadhan ini untuk kita 100% meng-rejuvenate dan meng-revamp keimanan kita kepada Allah. Dan harapan kita, aku bukan berubah hanya di bulan Ramadhan, aku berubah untuk mendekatiNya selama-lamanya! We can do it!
Sumber & Rujukan:
- Pustaka Panjimas; Prof. Dr. Hj. Abdul Malik Abdul Karim AmruLlah (HAMKA); Tafsir Al-Azhar; Jilid 1 Juz’ 1-3
- Klang Book Centre; Al Imam Muslim, Terjemahan Hadith “Sahih Muslim”; Jilid 2
- Eramuslim; Djoen; Oese Iman; Catatan Kecil Menjelang Ramadhan 1428; http://www.eramuslim.com/
Agar Kau ampuni dosa-dosaku.
No comments:
Post a Comment