Monday, September 07, 2009

Hari yang ke-13

Hari Yang ke-13

Jam menunjukkan waktu 19.05, lima minit lagi azan maghrib akan berkumandang, tandanya, saya boleh berbuka puasa. Jemaah di belakang sudah mula membarisi ruang berbuka, memang banyak masjid yang menyediakan sedikit santapan untuk berbuka di bulan ramadhan, paling tidak menjadi sedikit tarikan agar ma’mum semua solat berjemaah di waktu maghrib daripada menghabisi masa dengan makan yang berlebihan. Namun, saat itu saya masih cuba menghabisi bacaan alquran saya. Saya mahu khatam juga petang itu. “ish, banyak lagi ni…tak dapat tempat karang nak buka” hatiku mendesah risau..


Puasa yang mengajar taqwa


Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa (QS 2:173)


Hakikat dan tujuan puasa untuk mendapat dan menambah bekal nilai taqwa dalam jiwa setiap mu’min, itu memang diketahui umum. Alhamdulillah. Namun, seperti yang dinyatakan, puasa itu hanya akan menjadi rumah tarbiyah nilai taqwa bagi mereka yang benar-benar meyakini keberadaan Allah dalam setiap saat hidupnya. Yakni,itulah orang yang beriman. Manakan tidak, yang benar-benar menyaksikan puasa kita hanya memang Allah semata-mata. Tidak ada yang bersama-sama kita sepanjang kita berpuasa melainkan Allah. Saat kita tidur, saat di dalam tandas, saat kita mandi apatah lagi di waktu kita beribadah seperti solat dan ibadah ritual yang lain. Siapa sahaja yang mungkin tahu andai kita minum di saat kita mandi? Siapa sahaja yang mungkin tahu kalau kita culas di waktu di dalam tandas?


Begitu sukar dan bersungguh-sungguh kita menjaga segala pantang larang agar tidak membatalkan puasa kita. Teringat saat kecil kerana kurangnya ilmu, menahan angin semata-mata takut membuang angin akan membatalkan puasa, padahal hanya wudhu’ sebenarnya yang terbatal. Bahkan puasa itu bertambah indah dengan amalan dan sikap berjaga-jaga di dalam setiap perbuatan kita, takut-takut ada amalan mungkar dan dosa yang bisa mengurangi pahala di sisi Allah, takut-takut yang dapat hanya lapar dan dahaga. Itulah sebenarnya taqwa. Merasa takut akan keberadaan Allah sepanjang masa, berhati-hati dalam setiap perbuatan kita kerana sering merasa “mata-mata” Allah ada di mana-mana. Apakah lagi perisai terbaik untuk umat ini yang menghalang ia melakukan dosa selain taqwa? Di saat syarikat-syarikat besar bimbang akan pekerjanya yang sering menyalahgunakan kedudukan mengambil rasuah? Di saat sang isteri risau akan suami yang bermain kayu tiga di luar rumah? Di saat sang bapa takut agar anaknya tidak merokok di bangku sekolah?


Keikhlasan dalam berpuasa


" Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : - ' Hanyasanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.' (HR : Bukhari Muslim)


Ternyata keberhasilan sesuatu amalan di sisi Allah adalah nilai keihkhlasan. Kerana saya yakin, dengan ikhlas tampak berbeza sesuatu amalan. Hasilnya dan penghayatannya tentu jauh mendalam. Kan kita bisa merasainya? Luruskanlah niat agar puasa ini kita bisa membangun menjadi manusia yang berbeza untuk bekalan sebelas bulan yang mendatang, itupun dengan izinNya.


Syukur dalam beramal


Minggu lepas saat meronda-ronda di kawasan pembinaan, seorang saudara Muslim dari negara jiran minum tanpa segan silu di depan saya. Terkejut. Nama saudara ialah fulan?” saya bertanya, melihat namanya jelas terpampang pada topi keselamatannya. Dia menjawab “Ya”. “Adakah anda muslim?”saya bertanya lagi. Terus sahaja dia menjawab “Ya”. “Mengapa anda tidak berpuasa? Muslim kan harus berpuasa?” saya menambah lagi. Dia tunduk dan beredar dari situ. Mungkin disebabkan keadaan kerja yang berat di kawasan pembinaan menjadi sebab ramai pekerja yang tidak berpuasa. Letih, penat, panas dan beban sering menjadi kawannya orang yang tidak berpuasa. Mungkin kita patut bertanya, bagaimana sahabat Rasul menghadapi medan Badar di saat Ramadhan sedang memuncak. Saya merasa amat bersyukur dengan rahmat Allah kerana tidak ditimpa ujian seberat itu. Kalaupun terlewat bangun sehingga terlepas “berkahnya” sahur, masih mampu bertahan untuk berpuasa sepanjang hari dan melaksanakan puasa tanpa cacat dan cela, yang mungkin bertambah hanya alasan untuk bermalas-malas kerana tidak bersahur. Mungkin kita masih kurang bersyukur betapa mudahnya untuk kita beribadah sehingga kita tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah tersebut.


Apatah lagi mendapat kecelakaan kerana tidak pernah meminta keampunan daripada Allah sepanjang ramadhan.


Sabda Rasulullah SAW sewaktu menaiki mimbar di Madinah: Maksudnya: “Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya”. (HR: Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi)


Ketika mengakhiri bacaan petang itu, saya tersentak sendiri akan jawapan terus dari Allah agar bersabar dan jangan tergesa-gesa.


“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya”. (QS 3:200)


Alhamdulillah, rezeki itu Allah telah tetapkan. Kenyang saya berbuka petang itu. Biarpun nampaknya sedikit, mungkin rasa syukur menambah kenyangnya rezeki yang disantap.


“Ya Allah, indahnya saat berbuka, indahkan saat kami bertemu Mu, ampunkan lah kami di bulan Ramadhan, tetapkan kami di dalam iman. Ameen