Solat adalah tiang ugama (HR Al Baihaqi). Hebat manapun kita disisi manusia, tanpa pernah meletakkan dahi untuk sujud kepada Allah, tandanya kita adalah orang yang belum lagi menang untuk menundukkan rasa ego kita di sisi Allah, jadi, persis di mata Allah, kita bahkan menjadi manusia yang amat rugi.
1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian - 3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar. (QS103:1-3)
Persoalan yang wujud ketika ini, di dalam kita cuba memenuhi tanggungjawab sebagai pekerja, ramai yang gagal untuk memenuhi tuntutan mengabdi kepada Allah. Kesibukan dan kesuntukan masa dalam bekerja dan lelah sering dijadikan punca-punca untuk beralasan. Bukankah kita perlu menilai kedudukan untuk berabdi, tujuan dan hidup kita di atas muka bumi Allah ini?
Solat yang menundukkan ego.
Ego dan sombongnya manusia terkadang membuat seseorang itu untuk berkelakuan sebagai seorang yang kejam dan suka menentang. Hingga ada yang berani mengaku Tuhan dan sangat berkuasa. Kalau dulu kata-kata “Aku adalah Tuhan yang Agung” dari mulut Firaun itu adalah sangat zalim, sekarang sudah banyak manusia yang zalim mengangkat kebesaran dan keegoan mereka melebihi manusia yang lain, kalaupun tidak mengaku Tuhan, namun kata-kata seperti “Aku yang beri gaji dan makan anak bini Engkau” juga sudah sama taraf kezalimannya, menyuruh manusia tunduk kepadanya.
Apa pula yang dilihat ada pada solat? Ada apa ego manusia sama solat? Bukankah itu hanya ritual pergerakan berdiri, ruku’ dan sujud? Apa yang mahu dicapai dalam solat secara logiknya?
Lantas kenapa kita perlu solat?
Kan itu Allah itu sangat Ego mahu kita tunduk padaNya? Tambahan lagi lima waktu sehari semalam, seminggu berjema’ah di waktu tengah hari dan dua kali setahun berkerumun di masjid berhari raya? Semacam Allah sangat demanding dengan hambaNya. Kalau Allah itu sudah memiliki segala-galanya dan tidak akan sedikit pun gugur kemulianNya tanpa solat kita, jadi untuk apa solat kita?
Kerana ketika kita menghayati solat dan kumat-kamit bacaannya, memahami maknanya sedalam-dalam, akan timbul sesuatu yang akan memberi makna yang besar didalam kehidupan kita.
Kerana dengan solat runtuhnya ego kita sebagai manusia. Ketika gugurnya ego manusia, terbukalah segala pintu ketenangan yang dicari oleh setiap manusia. Bukankah kita mendamba bahagia dan ketenangan?
Ketika membesarkan Allah dengan lafaz “Allahu Akbar”, bukankah kita mengaku kekerdilan kita sebagai manusia ? Apakah kita tidak merasa kecil dan terhutang budi ketika mengucapkan tahmid “alhamduLillahi rabbil ‘alamin”? Tidakkah kita mengharap pada Rabb sewaktu mengucapkan kata-kata harapan “iyyaka na’budu wa iyya ka nasta’in”? Meminta petunjuk dan jalan ke arah keselamatan di hari akhirat?
Tidakkah kita merasa hina saat meletakkan dahi ke duli Ilahi, mengakui keagungan yang sangat tinggi “Maha Suci Rabb yang Maha Tinggi ” ? Bukankah ini waktu yang terbaik untuk meminta apa sahaja?
Atau sebenarnya kita belum pernah sedar untuk mendengar rintihan hati kita untuk mencari suatu kuasa agung tempat kita melepaskan beban dan pengharapan? Atau kita berputus asa?
53. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (QS 39:53)
Buku tulisan Tere Liye benar-benar menyentuh hati saya terhadap pengorbanan adik Delisa (watak utama) untuk terus menghafal bacaan solatnya walaupun kehilangan umi dan saudaranya lantaran Lok Ngha dilanda Tsunami. Buku yang mengolah erti keikhlasan dalam beribadah dan mencari kesempurnaan didalam menunaikan pengabdian solat.
Kalau manusia berumur 6 tahun juga sudah tahu untuk mengenal keikhlasan dalam solat apatah lagi kita yang sudah jauh memeras dan mengambil rahmat Tuhan tanpa pernah mengucapkan rasa tunduk dan syukur atas pemberianNya.
Penghambaan di dalam mencari Rezki
Sepanjang hari kita kerahkan tenaga dan kudrat untuk mencari sesuap nasi. Bukan semata mata rezeki untuk diri sendiri, tetapi untuk anak dan isteri yang menunggu di rumah dengan penuh pengharapan dan kesabaran.
Tetapi kita lupa rezeki kita tidak pernah setanding dengan usaha kita. Selalunya berlebih dan terkadang terkurang. Namun untuk semua itu, kadar dan hakikat rezki adalah sebanyak mana yang mampu di makan di dalam kadar sepinggan, pakaian sehelai sepinggang dan minuman segelas. Selainnya masih belum tentu milik kita. Duit yang ada di dalam poket boleh saja hilang dan barang yang hilang sudah pasti bukan kita miliknya.
Sesungguhnya, Allahlah zat yang memberi cukup dan kenyang. Allahlah yang berkuasa untuk menarik kembali apa sahaja yang kita ada.
57. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. 58. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang mempunyai kekuasaan Yang tidak terhingga, lagi Yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya. (QS 51:57-58)
Jadi ketika Allah yang memberi segalanya, bukankah Dia yang layak untuk disembah?
Rujukan
1) Al Quran
2) Hafalan Solat Delisa; Tere Liye; Jan 09
3) http://www.themodernreligion.com/basic/prayer/why
Powered by Qumana
No comments:
Post a Comment